Jururawat terselamat, pokok tumbang hempap kereta 😱😱
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, pemilik kereta Perodua Axia itu baru saja meletakkan keretanya dan dikatakan sedang berjalan menuju bangunan hospital berkenaan.
Bagaimanapun, jururawat wanita terbabit terkejut selepas dimaklumkan kereta miliknya dihempap pokok tumbang.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu, Kapten (PA) Mohd Hazle Shah Abd Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3.53 petang.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai APM Kota Kinabalu terus dikerah bergerak ke lokasi untuk membantu.
"Sebaik tiba di lokasi, pasukan operasi mendapati kereta Perodua Axia rosak pada bahagian tempat duduk pemandu akibat dihempap pokok tumbang.
"Pasukan operasi kemudiannya menjalankan operasi memotong dan mengalihkan pokok tumbang menggunakan peralatan gergaji rantai," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, tiada kecederaan dilaporkan dan operasi tamat jam 5.01 petang.