Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, beredar dari mahkamah selepas diarah membela diri terhadap 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini, diperintahkan Mahkamah Tinggi untuk menjawab semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Ahmad Zahid, 69, untuk membela bela atas pertuduhan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO itu.
Berikut adalah kronologi kes berkenaan.
19 Oktober 2018 - Ahmad Zahid didakwa buat pertama kali di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 10 tuduhan pecah amanah dan lapan tuduhan rasuah berjumlah RM42,083,132.99 dan 27 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM72,063,618.15.
14 Disember 2018 - Ahmad Zahid didakwa buat kali kedua di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan tambahan iaitu pecah amanah wang berjumlah RM10 juta milik Yayasan Akalbudi.
20 Februari 2019 - Ahmad Zahid didakwa kali ketiga di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan tambahan pecah amanah wang berjumlah RM260,000 milik Yayasan Akalbudi.
28 Februari 2019 - Mahkamah Sesyen memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.
22 Mac 2019 - Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan 8 Julai 2019 untuk mula bicara.
3 Mei 2019 - Mahkamah Tinggi menolak permohonan Ahmad Zahid supaya pasportnya yang berada dalam simpanan mahkamah, dikembalikan untuk mengerjakan umrah.
14 Mei 2019 - Mahkamah Rayuan Putrajaya menolak rayuan Ahmad Zahid mendapatkan pasport untuk umrah.
23 Mei 2019 - Mahkamah Persekutuan Putrajaya menolak rayuan Ahmad Zahid mendapatkan pasport untuk umrah.
18 November 2019 - Perbicaraan di hadapan Hakim Collin bermula.
2 Mac 2020 - Pihak pendakwaan memohon memulakan prosiding menghina mahkamah susulan penangguhan perbicaraan selepas peguam mewakili Ahmad Zahid memaklumkan anak guamnya perlu menghadiri mesyuarat berkaitan pembentukan Kabinet bersama Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan tiada mesyuarat atau perjumpaan dengan pemimpin politik dijadualkan pada hari berkenaan.
3 Mac 2020 - Mahkamah Tinggi menolak permohonan pihak pendakwaan untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Ahmad Zahid, selepas Presiden UMNO itu mengemukakan permohonan maaf secara terbuka.
10 Ogos 2020 - Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi terhadap 12 pertuduhan pindaan bagi kes pecah amanah dan dua pertuduhan pindaan rasuah membabitkan danaYayasan Akalbudi.
9 Mac 2021 - Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pindaan bagi kes pengubahan wang haram.
19 Mac 2021 - Pendakwaan menutup kes selepas 53 hari perbicaraan dan mendengar keterangan 99 orang saksi.
6 September 2021 - Hujahan kes di akhir kes pendakwaan bermula.
8 September 2021 - Hakim Mahkamah Tinggi memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak membuat komen di media sosial berkaitan perbicaraan kes berkenaan. Amaran dikeluarkan susulan pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak perempuan Ahmad Zahid, Datuk Nurulhidayah, membuat hantaran mengenai kes bapanya di Instagram.
7 Oktober 2021 - Ahmad Zahid membuat permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkannya ke Munich, Jerman untuk mendapat rawatan.
11 Oktober 2021 - Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Ahmad Zahid mengembalikan pasportnya bagi mendapatkan rawatan di Jerman.
6 Disember 2021 - Hakim Collin menetapkan 24 Januari 2022 untuk keputusan kes di akhir kes pendakwaan.
24 Januari 2022 - Mahkamah Tinggi memerintahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.