Haqiem Rusli Enggan Paksa Isteri Berhijab
Haqiem Rusli Enggan Paksa Isteri Berhijab
Perkongsian isteri kepada penyanyi Haqiem Rusli iaitu Anis Sofia di hari raya pertama menjadi perhatian ramai apabila dilihat tampil berselendang menampakkan rambutnya.
Malah, tindakan Anis memadam kesemua fotonya termasuk gambar bersama Haqiem juga turut menimbulkan tanda-tanya netizen.
BACA: Padam Gambar Berhijab, Isteri Haqiem Rusli Tayang Rambut
Memetik BH Online, ibu kepada Haqiem iaitu Nazrah Nordin berkata hubungan anak dan menantunya itu masih baik dan tiada apa-apa masalah.
“Tiada apa-apa yang berlaku… Mereka masih bersama seperti biasa. Anis beritahu fotonya bersama Haqiem tidak dipadam, hanya dimasukkan dalam arkib.
“Hubungan mereka baik-baik sahaja dan tiada masalah berlaku. Malah, ketika bergambar, mereka berpegangan tangan,” katanya.
Mengulas mengenai keputusan Anis tidak lagi berhijab, Nazrah berkata menantunya itu masih dalam proses membiasakan diri berhijab dan Haqiem enggan memaksa isterinya bertudung.
“Saya baru tahu mengenai keputusannya itu. Disebabkan Anis baru berusia 21 tahun, jadi kami tidak mahu terlalu menekan. Mungkin perasaannya untuk kekal berhijab masih belum terbuka.
“Haqiem ada beritahu, dia tidak mahu terlalu memaksa. Haqiem percaya suatu masa kelak, Anis terbuka hati untuk berhijab sepenuhnya,” katanya.